Kepentingan Menguasai ICT
Chakrabarty
(1979) menjelaskan bahawa literasi komputer membawa maksud mempelajari
cara menggunakan sesuatu perisian mikro komputer dan peranti-perantinya
yang dapat menghasilkan sesuatu melalui penggunaan komputer. Manakala
Dologite(1987) pula menyatakan literasi membawa maksud yang agak mudah,
iaitu tahap pengetahuan dan kebolehan seseorang itu menggunakan
komputer.
Pendapat
beliau ini hampir sama dengan pendapat Hunter (1987), dalam kajiannya
yang menyatakan literasi komputer sebagai kemahiran seseorang individu
menggunakan komputer sebagai sebuah alat yang disesuaikan kepada situasi
hidup harian yang membolehkannya berfungsi dalam masyarakat yang
berasaskan maklumat. Ngan (1994) menyatakan bahawa literasi komputer
membawa maksud yang lebih luas bukan sahaja konsep dalam kesedaran
tetapi juga pengalaman dan pengendalian komputer. Manakala kesedaran
komputer pula merujuk kepada pengetahuan mengenai cara komputer
digunakan dalam masyarakat, kesan kegunaannya terhadap sosial dan
ekonomi serta kesannya terhadap kehidupan manusia. Kesedaran komputer
berkait rapat dengan pembelajaran tentang komputer, manakala literasi
komputer pula berkait rapat dengan pembelajaran dan penggunaan komputer.
Besag dan Levine (1984) berpendapat, tahap asas literasi komputer
adalah kebolehan membaca serta menulis dengan menggunakan bahasa sendiri
dan dalam definisi yang lebih luas, bukan sahaja setakat boleh membaca
tetapi juga boleh menggunakan pengetahuan yang diperoleh daripada
komputer dalam kehidupan seharian.
Mc
Keown (1986) menyatakan jika seseorang itu celik komputer, dia bukan
hanya mempelajari tentang komputer tetapi juga tahu menggunakannya
sebagai alat yang memudahkan kerja-kerja lain. Menurut beliau lagi,
literasi juga bermaksud mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh
dilakukan oleh komputer serta kebolehan seseorang itu mengarah komputer
berbuat sesuatu yang dikehendaki.
Perubahan
ICT akan memberikan cabaran besar terhadap profesion keguruan. Guru
perlu bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka bagi
menjadikan komputer sebagai teknologi pengajaran dan pembelajaran
menggantikan pendekatan konvensional yang kurang berasaskan inovasi
teknologi. Untuk menerajui pendidikan pada masa hadapan, setiap guru
perlu memahirkan diri dengan ICT. Strategi meningkatkan penggunaan ICT
di sekolah bergantung kepada kemampuan pengetua dan guru-guru
menguruskannya. Oleh itu, setiap guru mesti menguasai kemahiran ICT.
Ketrampilan dalam ICT adalah satu kriteria penting dalam sistem
pendidikan abad ke - 21. Pencarian maklumat melalui internet merupakan
aset yang akan dapat menjayakan pendidikan pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment